Saturday 7 November 2015

Kepala Ikan dan Tulang-Tulang Ayam Telah Menjadi ...

Kepala Ikan dan Tulang-Tulang Ayam Yang Aku Makan Selama Ini

Petang ini hujan lebat. Aku bersandar di sofa sambil melihat deras hujan turun. Tiada sesiapa di sisiku sementara atau selamanya. Tak  mampu aku berimaginasi kerana aku tak mampu berharap apa-apa lagi di dunia ini. 

Ku renung jauh ingat adik-adikku. L sedang bercuti di Jepun. A sedang bercuti di Pulau Langkawi dan Y sedang menikmati keindahan alam mandi air terjun. Mereka dah dewasa dan berjaya. Bila ada masa lapang pasti bawa aku makan sedap-sedap. Puas aku memikirkan bagaimana mereka tidak pernah jemu dan tidak lokek belanja aku makan sedap-sedap. Barangkali mereka juga tidak tahu mengapa mereka bermurah hati sentiasa belanja aku makan sedap-sedap dan langsung tak pernah berkira dengan aku.

Dalam aku mengenangkan adik-adikku, teringat masa zaman kanak-kanak ku, tiap kali nak makan mama pesan kepadaku kalau makan ingat adik-adik. Beri adik-adik makan yang elok-elok. Sejak dari hari pesanan mama tu, setiap kali kalau nak ambik lauk ikan, pasti aku akan ambil bahagian kepala ikan yang tak banyak isi supaya adik-adikku dapat makan bahagian badan hingga ke ekor ikan. Macam tu juga kalau ambil lauk ayam aku akan ambil ayam yang banyak tulang supaya adik-adikku dapat makan isi-isi daging ayam. Perkara itu telahpun menjadi kebiasaan sehingga aku dewasa. Mungkin tiada siapa pun sedar tentang perkara tersebut termasuk diri ku sendiri kerana ia telah menjadi kebiasaan.

Tetapi Allah SWT Maha Besar. Kini aku mengerti dari mana adik-adikku diberi kekuatan untuk bermurah hati belanja aku makan sedap-sedap bila mereka dah bekerja. Allah membalasnya semula tanpa ada sesiapa pun menyedarinya. Allah ganti semula pengorbanan ku makan kepala-kepala ikan yang tidak berisi dan tulang-tulang ayam dengan makanan yang sedap-sedap apabila adik-adik ku yang kini telah dewasa sering bawa ku makan di tempat sedap-sedap. Dan aku..hanya baru hari ini aku menyedari salah satu nikmat diperolehi. Allah SWT memberi dan menggantikan dengan yang lebih baik tanpa hambaNya mengetahui semasa proses penghidupan berlaku. Alhamdulillah